Soalan : Apakah rasional sebenar penubuhan Hero Pengguna ini dan apakah peranan yang boleh dimainkan oleh ahli-ahli Hero Pengguna untuk membantu masyarakat mendalami lagi ilmu-ilmu kepenggunaan?

Jawapan : Kerajaan meletakkan harapan yang tinggi terhadap Hero Pengguna agar dapat membantu pihak kerajaan meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan undang-undang melalui kerjasama dan sokongan daripada orang ramai. Memandangkan aktiviti penawaran dan permintaan dalam pasaran yang semakin meningkat tanpa sempadan, keadaan ini membataskan keupayaan pihak penguatkuasa melaksanakan tugas mereka, Dengan kerjasama dari Hero Pengguna yang melaporkan kepada KPDN maka aktiviti peniagaan yang tidak sihat sentiasa dipantau oleh masyarakat. Secara tidak langsung peranan ini dapat mendisiplinkan pihak peniaga pada masa hadapan.

Selain itu, ahli Hero Pengguna boleh berperanan sebagai pemberi maklumat (informer) mengenai trend harga barangan dan perkhidmatan kepada KPDN agar laporan yang disampaikan itu boleh diambil tindakan dengan cepat. Hero Pengguna juga boleh berperanan sebagai penyebar maklumat dan isu-isu kepenggunaan kepada masyarakat umum. Ahli Hero Pengguna juga boleh menjadi jurucakap berkaitan isu kepenggunaan serta menganjurkan program dan aktiviti kepenggunaan dikomuniti masing-masing. Hero Pengguna juga diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada masyarakat untuk mengamalkan gaya hidup lestari.

Soalan : Apakah faedah yang akan dinikmati oleh ahli-ahli yang berdaftar sebagai Hero Pengguna?

Jawapan : Ahli-ahli yang berdaftar sebagai Hero Pengguna akan menikmati pelbagai keistimewaan, yang antaranya adalah:
  • Dapat membantu ahli masyarakat dalam meningkatkan perlindungan pengguna bagi kesejahteraan masyarakat.
  • Meningkatkan kemahiran dan pengetahuan pengguna mengenai trend harga barangan dan perkhidmatan di pasaran.
  • Berkhidmat kepada masyarakat pengguna dengan memberi informasi dan maklumat melalui aktiviti pemantauan.
  • Maklumat yang diberikan dapat membantu KPDN mengambil tindakan dengan cepat.
  • Diberi peluang untuk menyertai seminar dan bengkel yang dianjurkan oleh KPDN.
  • Mengikuti kursus training for trainers untuk melatih ahli Hero Pengguna yang lain.
  • Menikmati keistimewaan melalui Kad Hero Pengguna di mana ahli Hero Pengguna akan menikmati kemudahan potongan harga dan diskaun yang ditawarkan oleh premis perniagaan yang mengambil bahagian.
  • Ahli Hero Pengguna yang terbaik yang banyak membantu serta memberi sumbangan kepada KPDN akan diberi anugerah sebagai pengiktirafan dari pihak KPDN. Anugerah akan diberikan samada di peringkat kebangsaan dan negeri.

Soalan : Apakah peranan yang boleh dimainkan oleh Hero Pengguna?

Jawapan : Peranan yang boleh dimainkan oleh ahli Hero Pengguna diantaranya adalah:
  • Melapor trend harga, bekalan barangan dan perkhidmatan serta isu-isu kepenggunaan semasa melibatkan kepentingan pengguna.
  • Menyebarkan maklumat kepada para pengguna mengenai isu-isu kepenggunaan, seperti pengedaran poster, risalah, brosur dan sebagainya.
  • Mengendalikan program dan aktiviti kepenggunaan di kawasan komuniti setempat.
  • Menjadi pemangkin untuk gaya hidup lestari dan pencinta alam sekitar.

Soalan : Bagaimanakah caranya orang ramai yang berminat untuk mendaftar sebagai ahli Hero Pengguna?

Jawapan : Orang ramai yang berminat untuk mendaftar sebagai ahli Hero Pengguna bolehlah melayari laman web https://pengguna.my/portal/index dengan mengisi borang keahlian yang disediakan.

Soalan : Saya di fahamkan Hero Pengguna ini tidak hanya di sertai oleh masyarakat umum, tetapi juga disokong oleh ahli-ahli NGO, ahli kesatuan sekerja Cuepacs dan badan-badan peniaga seperti Perdasama, Giant dan Jusco. Boleh berikan komen mengenai perkara ini?

Jawapan : Hero Pengguna merupakan medium yang berperanan sebagai serampang tiga mata. Kumpulan ini tidak hanya memberi fokus terhadap masyarakat umum yang mengguna tetapi juga mula melibatkan masyarakat peniaga yang menawarkan barangan serta perkhidmatan. Konsep ini adalah selari dengan Dasar Pengguna Negara yang mahukan pengguna mempunyai kawalan kendiri (self protection), peniaga mempunyai kawalselia kendiri (self-regulation) manakala Kerajaan sebagi fasilitator yang berperanan untuk meningkatkan tahap perlindungan terhadap pengguna.

Soalan : Apakah langkah-langkah yang telah dirancang oleh KPDN untuk menyebarluaskan lagi maklumat berkaitan Hero Pengguna agar lebih ramai masyarakat berminat menyertainya ?

Jawapan : Selepas ini KPDN dengan kerjasama NGO Kepenggunaan (CAP, FOMCA, PPIM, MIYC, LPKPM), NGO bukan kepenggunaan (Cuepacs), masyarakat peniaga (Perdasama, Giant dan Jusco) akan menjalankan kempen-kempan dan roadshow untuk menambah bilangan keahlian, disamping menyediakan modul-modul pendidikan berterusan kepada ahli-ahli Hero Pengguna agar dapat menjadi ahli Hero Pengguna yang celik ilmu kepenggunaan. Dengan cara ini diharapkan ahli-ahli Hero Pengguna ini akan berjaya dilatih menjadi jurucakap bagi menyampaikan mesej kepenggunaan kepada masyarakat.

Soalan : Apakah harapan KPDN terhadap Hero Pengguna yang baru dilancarkan ini?

Jawapan : Harapan Kementerian adalah jelas, agar Hero Pengguna ini menjadi medan untuk pengguna, peniaga dan kerajaan berganding bahu mewujudkan pasaran ekonomi dan sosial yang lebih kondusif untuk didiami oleh generasi kita pada masa akan datang. Jika dilihat kepada cita-cita ini, mungkin masyarakat berpendapat ia sukar direalisasikan, tetapi KPDN tidak akan pernah berputus asa untuk mencari titik kesimbangan antara kehendak pengguna dan keuntungan peniaga. Agar kedua-duanya dapat mencapai titik pertemuan yang memberikan kepuasan utiliti maksimum demi melahirkan pasaran dan persekitaran yang lebih kondusif untuk didiami.

Disediakan oleh:
BAHAGIAN GERAKAN KEPENGGUNAAN
KEMENTERIAN PERDAGANGAN DALAM NEGERI
DAN KOS SARA HIDUP

Hak Cipta KPDN © 2024.
Sesuai dipaparkan menggunakan Mozilla Firefox 44.0 atau Google Chrome 47.0 pada resolusi 1027x768.